Kuching: “Ia (buaya) datang seperti angin (laju) sebelum terus menyambar kaki kiri saya,” kata pekerja teknikal, Sakawai Suhaili, 59, yang terselamat dalam insiden serangan buaya di Sungai Sarawak pada 9 Februari 2016.
Mengimbas kejadian jam 10.30 malam itu, Sakawai berkata, ketika kejadian, dia sedang menyusun kayu yang dihanyutkan banjir di bawah rumahnya di Kampung Tupong Ulu di sini.
Rumahnya itu terletak kira-kira tiga meter daripada sungai berkenaan.
“Saya berseorangan di bawah rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran buaya dianggarkan bersaiz dua meter yang terus menerkam paha kiri saya.
“Saya cuba melepaskan diri menyebabkan berlaku pergelutan. Pada masa sama, ada tiang rumah menghempap buaya itu menyebabkannya melepaskan gigitannya,” katanya ditemui di rumahnya.
Menurut Sakawai, dalam kesakitan, dia menjerit meminta tolong namun tidak didengari keluarga dan jiran.
“Saya terus merangkak untuk naik ke jambatan rumah,” katanya.
Menurut Sakawai, kesan gigitan buaya itu kekal hingga kini.
“Kejadian itu menyebabkan saya dimasukkan di Hospital Umum Sarawak selama dua minggu.
“Gigitan buaya itu bukan sahaja meninggalkan bekas, malah sehingga kini, kaki kiri saya masih sakit serta kebas. Namun saya bersyukur kerana terselamat,” katanya.
Menurut Sakawai, belum pernah ada kes serangan buaya dilaporkan di lokasi rumahnya itu sepanjang 20 tahun tinggal di kawasan berkenaan.
“Sebelum kejadian, saya tidak pernah melihat kelibat buaya di kawasan ini. Namun, apa yang berlaku terhadap saya memberi pengajaran supaya lebih berhati-hati ketika berada berhampiran sungai,” katanya.
Seorang lagi mangsa serangan buaya yang terselamat, Peter Wee Chee Kiong, 21, berkata, kedua-dua tangannya cedera selepas diserang ketika berada di dalam perahu berhampiran rumahnya di Kampung Belabau di Muara Lepa Serdeng, Sarikei pada 18 Februari 2019.
“Pada kejadian jam 12.30 tengah hari itu, saya sedang mencuci kasut di dalam perahu selepas selesai menangkap ketam sebelum seekor buaya tiba-tiba menggigit tangan kiri.
“Kurang beberapa saat kemudian, buaya itu muncul semula dan menyerang tangan kanan saya pula. Saya bergelut dengan buaya itu sehingga ia melepaskan pergelangan tangan saya.
“Pergelutan itu juga menyebabkan saya hampir terjatuh ke dalam sungai sebelum saya terus keluar daripada perahu dan berlari ke tebing sungai,” katanya dihubungi.
Peter yang juga pekerja kontrak berkata, buaya yang menyerangnya itu dianggarkan sepanjang empat meter.
“Kejadian itu menyebabkan saya dirawat di Hospital Sarikei akibat patah tulang jari kelengkeng kiri selain luka di kedua-dua tangan.
“Sepanjang pengalaman saya tinggal di kawasan ini sejak kecil, ini kali pertama berlaku kes serangan buaya. Penduduk tidak pernah terserempak dengan buaya sebelum itu.
“Saya difahamkan, buaya yang menyerang saya itu dibunuh beberapa hari kemudian selepas ia terperangkap dalam pukat penduduk, kira-kira 10 meter dari lokasi saya diserang,” katanya.