TIMBALAN Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi dan Exco kerajaan negeri Perak Razman Zakaria masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik, hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu apabila Dr Noor Azmi, 59 dan Razman, 60 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah.
Turut didakwa di mahkamah sama adalah 13 yang lain termasuk abang Dr Noor Azmi, Noor Azman, 57 yang turut didenda RM1,000 kerana ingkar PKP.
Menurut pertuduhan, semua tertuduh didapati berhimpun dalam kawasan tempatan jangkitan bagi maksud sosial di Dewan Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah Kampung Luat di Lenggong, antara jam 6 hingga 7 malam pada 17 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta boleh dihukum di bawah peraturan 11 (1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sebelum singgah ke maahad tahfiz berkenaan, Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa lagi individu melawat Klinik Kesihatan Lenggong, untuk meninjau persiapan, permasalahan yang timbul, kekurangan dan keperluan kakitangan di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dalam mengawal penularan wabak Covid-19.
Selepas melawat klinik, kesemua tertuduh singgah ke maahad tahfiz terbabit untuk solat Asar dan memberi sumbangan barangan kering kepada wakil penduduk kampung sebelum ke dewan makan untuk menikmati jamuan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki, sementara semua tertuduh diwakili peguam, Nor Zahari Ismail.
Azhar berkata, semua tertuduh harus dihukum sewajarnya selepas mendengar fakta kes.
Sementara, Nor Zahari dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana ia adalah kesalahan pertama semua tertuduh dan mereka menyesal atas tindakan mereka serta berjanji tidak akan mengulanginya.
Sementara Norhidayati sebelum menjatuhkan hukuman berkata, tertuduh memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang proses siasatan.
“Saya mengambil kira tujuan mereka berkumpul adalah membantu penduduk tempatan mengawal penularan wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, berkumpul (untuk menikmati jamuan bersama) tidak dibenarkan Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Ini boleh menyebabkan penyebaran dan terdedah kepada ancaman virus Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, Norhidayati menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Sementara Dr Noor Azmi dalam sidang media di luar mahkamah berkata, beliau memohon maaf atas kesilapan serta akan mematuhi sistem perundangan dan kehakiman negara.
“Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.