“ARWAH Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, sempat menyerahkan kad undangan majlis perkahwinannya kepada saya awal Mac lalu. Namun majlis itu terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan kerajaan,” ujar Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sepang, Azli Muhidin.
Menurutnya, walaupun majlis perkahwinan sepatutnya diadakan 28 Mac lalu terpaksa ditunda namun Nurul Ain langsung tidak menunjukkan riak kecewa.
“Malah, dia komited dengan tugas sebagai anggota APM dan pasukan barisan hadapan sepanjang pandemik Covid-19.
“Mangsa berasal dari Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Dengkil, begitu menitikberatkan tugas diamanahkan hingga sanggup melupakan seketika impian menaiki jenjang pelamin” katanya.
Menurutnya, kemalangan maut meragut nyawa Prebet (PA) Nurul Ain dalam nahas jalan raya di Jalan Jenderam/Salak, Sepang jam 7.50 pagi semalam amat mengejutkan ramai pihak.
Difahamkan mangsa bersama rakan Pbt (PA) Rabbiatun Khairunnisa Mohammad Osman, 22, dalam perjalanan memulakan penugasan di Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sepang.
Azli berkata, Nurul Ain dianggap anggota APM yang memiliki semangat luar biasa berikutan dia tidak pernah mengambil cuti sejak mula bertugas pada 2013.
“Jika ada masalah, dia pandai sembunyikan dari ketua dan hanya berkongsi dengan rakan yang rapat. Dia akan tetap kelihatan ceria sepanjang masa.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada Jumaat lalu. Saya sempat meminta bantuannya memasukkan gambar program kami ke dalam laman sosial Facebook,” katanya.
Dia berkata, kebiasaannya Nurul Ain memulakan tugas jam 8 pagi hingga jam 4 petang membabitkan pelbagai penugasan dan panggilan kecemasan.
“Sebelum ini dia pernah terbabit dengan operasi menyelamat mangsa lemas di Pantai Bagan Lalang, Sepang dan banjir besar. Banyak jasa disumbangkan,” katanya.
Menurutnya, Nurul Ain yang juga anak bongsu daripada tiga beradik turut dikagumi kerana kecekapannya memasak di APM.
Difahamkan sehingga petang semalam, jenazah mangsa masih berada di bilik mayat Hospital Serdang, berikutan proses bedah siasat hanya akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 dilakukan terlebih dahulu.