KEBENARAN beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diberikan kepada kilang minuman keras, Heineken sudah pun dibatalkan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memaklumkan perkara itu menerusi laman Twitternya hari ini.
“Sudah dibatalkan pagi ini kerana tidak selari dengan dasar kerajaan,” katanya.
Terdahulu, beliau meminta tindakan diambil segera ke atas kilang minuman keras Heineken yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, ia tidak selari dengan dasar yang diambil dan diputuskan kerajaan dan tindakan perlu diambil segera berhubung isu berkenaan.
Semalam tular di media sosial surat yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada kilang terbabit beroperasi ketika PKP.
Ia bagi memastikan bekalan minuman keras mencukupi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Surat berkenaan mengundang pelbagai pendapat umum yang mahukan penjelasan pihak berwajib berhubung isu itu.