KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat bahawa tindakan rentas negeri untuk tujuan menyambut Aidilfitri boleh mengundang padah dan menyebarkan semula wabak Covid-19.
Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak 971 kes positif Covid-19 atau 14.1 peratus daripada jumlah keseluruhan 6,894 kes direkodkan mempunyai sejarah merentas negeri.
“Tambahan pula, sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia
adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri. Malah, 10 daripada kluster-kluster itu adalah masih aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 yang berkait rapat dengan aktiviti merentas negeri adalah amat membimbangkan, terutama sekiranya ia terus-menerus berlaku walaupun selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, masyarakat harus waspada ketika tempoh perayaan yang bakal tiba kerana mungkin menjadi pemangkin kepada penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan-kawasan yang kini sudah mencapai status Hijau.
Terdahulu, pada sidang media sama Noor Hisham memaklumkan pihaknya khuatir melihat peningkatan pergerakan dan perjalanan individu merentas negeri, terutamanya menjelang perayaan yang bakal tiba.
Katanya, 15 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sebanyak 508 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung.
“Jumlah ini meningkat kepada 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung sebelum diarah berpatah balik oleh PDRM pada 16 Mei,” katanya.