Kuala Lumpur: Polis memburu tiga lelaki berhubung kematian tiga beranak termasuk Pablo Escobar Langkawi dalam kes kebakaran di kediamannya 1 April 2019 selepas kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh susulan pendedahan akhbar ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mereka yang dicari itu adalah Zuhaimi Saad, 41, atau dikenali Bagok berasal dari Langkawi dengan alamat terakhir No 240, Kampung Kelibang, Mukim Kuah, Langkawi.
Menurutnya, suspek kedua pula adalah Nordin Ahmad, 40, atau dikenali Din Napoh dengan alamat terakhir di No 20, Kampung Baru Ulu Melaka, Mukim Ulu Melaka, Langkawi.
“Seorang lagi suspek yang dicari adalah Ahmad Shahrul Nizam Long, 35, atau dikenali Mapley dengan beralamat di Kampung Bukit Tangga, Mukim Padang Matsirat, Langkawi.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Nizam Hassan di talian 04-9666222 sambungan 2820 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini, hari ini.
Mohd Iqbal berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan jenayah sama ada membabitkan orang luar atau anggota polis sendiri kerana tindakan sama akan tetap diambil.
“Tahun lepas seramai tiga anggota polis ditahan atas kesalahan dadah membabitkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana tindakan ke atas mereka sudah diambil.
“Bagi tempoh tahun ini pula seramai 10 anggota polis ditahan berkaitan dadah termasuk yang ditahan itu atas kesalahan urin dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya, layanan kepada mereka (polis) adalah sama seperti orang awam di mana ada yang sudah ditahan kerja dan sebahagianya dalam proses permohonan serta menunggu arahan selanjutnya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan selepas siasatan sejak bulan lalu, Bukit Aman memutuskan siasatan dilakukan pegawai penyiasat kes kebakaran kematian tiga beranak termasuk Pablo Escobar Langkawi sebagai kecuaian.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sudah lakukan siasatan dan memutuskan tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai penyiasat terbabit.
Susulan laporan khas akhbar ini bertajuk Konspirasi atau Tragedi yang disiarkan pada 4 September lalu, Bukit Aman kemudian mengklasifikasikan kematian tiga beranak dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di Langkawi, sebagai kes bunuh.
Pada 4 September lalu, dalam laporan khas siri kedua Harian Metro melaporkan kematian Pablo Escobar Langkawi dalam kes kebakaran di kediamannya 1 April 2019 adalah satu misteri yang dipercayai kemungkinan terdapat unsur jenayah.
Laporan itu mendedahkan, berdasarkan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkenaan menemui sisa petrol dalam rumah berkenaan dan ia sekali gus menolak kemungkinan kebakaran disebabkan litar pintas.
Untuk rekod, kebakaran yang berlaku 1 April 2019 itu mengorbankan pasangan suami isteri, Mohd Nahar Suhami, 39, dan Nor Suhaila Ahmad, 41 serta anak lelaki mereka, Mohd Naufal Mohd Nahar, 6.
Namun, selepas setahun kes itu ‘disenyapkan’ iaitu 3 september lalu, pendedahan akhbar ini menggemparkan negara apabila mendakwa kes kematian itu mempunyai unsur jenayah.
Pendedahan itu turut mendedahkan gambar selepas kejadian berkenaan dan mengaitkan laporan unsur jenayah yang ditemui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam siasatan mereka namun polis mendiamkan kes berkenaan.
• Perlu operasi bersepadu banteras dadah, judi
• Bersihkan Langkawi daripada unsur negatif – PPMM
• Siasatan kes dadah di Langkawi dibuat secara menyeluruh
• Lindungi sindiket dadah: Dua polis ditahan
• Langkah drastik atasi kartel di Langkawi
• Bebaskan bumi Langkawi dari dadah
• ‘Jangan tuding jari pada satu pihak’ – Ketua Pengarah AADK
• PDRM jamin siasat kes dengan telus – Ketua Pengarah AADK
• Rakyat sedang perhatikan kita!
• Pegawai penyiasat didapati cuai
• Dua lagi tokan dadah Bukit Malut ditahan
• Pablo Escobar Langkawi: Polis lawat semula lokasi kejadian
• Polis klasifikasi kematian Pablo Escobar Langkawi kes bunuh
• PDRM jamin siasat kes dengan telus