KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 43 kes disahkan positif Covid-19 di dalam kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali di Kuantan, Pahang.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster PUI Bali di sebuah pusat kesihatan di Kuantan itu membabitkan golongan pesakit dan anggota kesihatan.
Katanya, kes indeks (iaitu kes ke-4,684) bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia.
“Kes indeks itu mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1575 (iaitu abang kepada kes indeks) yang sudah dimasukkan ke wad Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di pusat perubatan itu 19 Mac dengan gejala demam dan jangkitan saluran pernafasan.
“Sehingga kini terdapat sebanyak 43 kes disahkan positif di dalam kluster ini iaitu 30 sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang.
“Sembilan sudah sembuh, seorang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga lagi sudah meninggal dunia (iaitu kes ke-1,575, ke-5,064 dan ke-4,129).
“Sebanyak 2,301 ujian saringan Covid-19 dijalankan yang membabitkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, 10 orang daripada 43 kes yang disahkan positif di dalam kluster itu adalah anggota kesihatan pusat perubatan.
“Langkah kawalan penularan jangkitan Covid-19 sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat KKM.
“Ia termasuk proses nyah cemar dan pemindahan pesakit ke hospital KKM berdekatan.
“Ini untuk memastikan pusat perubatan berkenaan selamat dan diyakini bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, katanya, KKM mengingatkan semua anggota kesihatan kerajaan dan swasta kepentingan untuk menggunakan alat penutup mulut dan hidung terutamanya semasa mengendalikan kes penyakit seperti Influenza (ILI) atau Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).
Selain itu, katanya, pemakaian alat pelindung diri (PPE) yang sesuai semasa melakukan sebarang prosedur klinikal adalah amat penting.
“Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) turut dinasihati untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial di dalam dan luar tempat kerja serta pemakaian PPE mengikut keperluan,” katanya.