Kuala Lumpur: Tangannya bukan saja mahir mengendalikan peralatan perubatan tetapi juga mampu menghasilkan karya seni yang memukau sesiapa saja melihatnya.
Hasil karyanya itu bukan calang-calang, ia pernah menambat hati pembeli dari Amerika Syarikat (AS) sehingga terjual dengan harga RM2,000.
Itulah bakat dimiliki doktor pelatih Nurul Anati Zainal, 27, yang akan menamatkan latihan perubatan dalam masa empat bulan saja lagi di Klinik Kesihatan Jalan Masjid, Kuching, Sarawak.
Dia yang juga graduan perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sungai Buloh itu berkata, bakat melukis yang dimiliki adalah hasil daripada dorongan bapanya.
“Saya belajar melukis sepenuhnya daripada bapa yang juga meminati bidang ini. Bapa adalah pesara kerajaan dan kini menjadikan hobi melukis ketika waktu lapang.
“Bakat seni yang dimilikinya itu mengalir dalam diri saya dan disebabkan itu kami berkongsi minat yang sama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut anak ketiga dari empat beradik itu, menghasilkan karya seni di atas kanvas adalah satu terapi baginya menghilangkan tekanan di tempat kerja.
“Melalui pengalaman saya, ramai yang berada dalam bidang ini tidak dapat menghabiskan latihan perubatan dalam tempoh 24 bulan seperti yang diperuntukkan disebabkan tekanan kerja di hospital.
“Bagi mengelak perkara sama berlaku saya jadikan aktiviti melukis sebagai tempat melepaskan tekanan dan penat lelah di tempat kerja,” katanya.
Nurul Anati berkata, karyanya menjadi perhatian pembeli apabila dia mula melukis genre abstrak menggambarkan pemandangan laut di atas kanvas menggunakan medium cat akrilik dan minyak.
“Pada awalnya, saya memuat naik gambar hasil karya di Instagram sekadar perkongsian namun tidak sangka ada pengikut yang mahu membelinya.
“Saya juga teruja apabila genre karya itu menjadi perhatian warganet di Instagram dan Twitter walaupun baru saja memulakannya awal tahun ini,” katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.
Menurutnya, dia masih memilih kerjaya sebagai doktor sebagai pilihan utama dan melukis hanyalah pendapatan sampingannya.
“Saya menghasilkan karya lukisan pada hujung minggu iaitu hari cuti bagi doktor pelatih. Kebiasaannya saya akan melukis dari pagi hingga tengah hari dan waktu petang adalah masa saya bersama keluarga dan suami.
“Setiap hasil karya mengambil masa satu hingga dua jam bagi saiz kanvas yang kecil manakala yang lebih besar mengambil masa dua hingga lima hari,” katanya.
Terdahulu, perkongsian gambar hasil karya Nurul Anati di laman Twitter miliknya tular sehingga mendapat 16,000 tanda suka dan 6,000 ulang ciap.