“AKU fikirkan mendung berterusan, tapi kini mentari muncul lagi”.
Bait-bait ayat ini mengisi lirik lagu Mentari Muncul Lagi yang dimuatkan dalam album kumpulan Slam berjudul Dalam Harapan, diterbitkan pada 1998.
Mengambil inspirasi lagu ini, Slam yang dianggotai Zamani selaku vokalis, Shah (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) bersetuju menggunakan Slam Mentari Muncul Lagi sebagai judul konsert mereka.
Justeru, bagi kelompok peminat tegar Slam pastinya akan sabar menunggu konsert istimewa ini yang dijangka berlangsung pada 17 Januari tahun depan.
Konsert anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini seakan membawa harapan buat Slam untuk terus bersinar pada tahun depan terutama pada era pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Menempuh usia 30 tahun dalam industri, kehebatan lagu serta kemantapan persembahan Slam tidak perlu dipertikaikan lagi.
Bagaimanapun, Shah mengakui amat teruja kerana bakal beraksi di tempat berprestij berkenaan.
“Siapa yang tak berbangga dapat mempersembahkan rangkaian lagu hits kami di Dewan Plenari KLCC. Untuk itu, kami perlu buat persiapan supaya persembahan ditampilkan nanti mantap.
“Kebiasaannya kami akan tampil mengadakan konsert dua tahun sekali untuk peminat.
“Pada 2016, kami tampil dengan Konsert Kurnia Slam di Kuala Lumpur dan diikuti dengan Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin di Johor Bahru. Alhamdulillah peminat tetap berikan sokongan tak berbelah bahagi,” katanya.
Menurutnya sepanjang tahun lalu, Slam menjayakan persembahan di Singapura serta terbabit dalam program Konsert Minggu Ini (KMI) terbitan RTM dan sambutan diterima sememangnya hangat.
“Kami sudah lama bergabung dan ada keserasian. Namun perlu juga ada kelainan dalam persembahan terbaharu itu nanti, supaya peminat tak bosan.
“Menyebut perkara ini, saya rancang akan cuba jadikan susunan muzik untuk lagu yang dipilih lebih mantap dan sedap dinikmati.
“Tak terkecuali, kami akan membesarkan lagi muzik dan bunyi dengan penambahan instrumen,” katanya.
Selain itu, Slam dan penganjur akan menggunakan teknologi moden dengan menyelaraskan visual dan teknik pencahayaan.
“Rasanya konsert ini adalah batu loncatan buat Slam memberikan satu benda baharu untuk peminat.
“Kami juga berharap konsert Slam Mentari Muncul Lagi ini menjadi permulaan untuk penganjuran konsert lain yang mendatang.
“Banyak perancangan yang diatur sebelum ini sudah terkandas. Bagaimanapun, ini akan menjadi sebuah konsert pengenalan tanda Slam kembali serius untuk beraksi dan hadiah buat peminat,” katanya.
Dalam masa sama, Shah membayangkan kemungkinan terpaksa menggunakan khidmat pemain gitar undangan sekiranya Lili yang menetap di Singapura tidak dapat bersama mereka akibat sekatan perjalanan bagi mengekang penularan Covid-19.
Teringin buat ‘showcase virtual’
Bercerita aktiviti semasa mereka, Shah berkata, Slam membayangkan untuk mengadakan ‘showcase virtual’ kepada peminat sekali dalam sebulan.
“Kami sekarang dalam perbincangan untuk merealisasikan perancangan projek ini. Selain itu. kami juga rancang nak rakamkan semula lagu ‘cover version’ artis lain.
“Tak terkecuali perancangan nak rakam lagu baharu juga ada, tapi bergantung pada jadual masa Zamani.
“Kemudahan memang sedia ada kerana Eddie ada studio. Jadi, saya yakin rakaman kami boleh buat di situ,” katanya.
Zamani pula berjanji akan memberikan komitmen terbaik selain berdoa semoga kesihatannya stabil ketika konsert berlangsung.
Sementara itu, Ketua Pengarah Ekskutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya bersyukur impian untuk menganjurkan konsert Slam menjadi kenyataan.
“Biarpun penularan pandemik Covid-19 dilihat semakin meruncing, kami yakin konsert terbabit mampu menyerlah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kami juga merancang tindakan alternatif lain sekiranya keadaan semakin kritikal menjelang konsert.
“Paling utama, kami tak akan sesekali mengabaikan keselamatan semua yang terbabit. Kami akan pastikan semua wajib ikut SOP,” katanya.
Konsert Slam Mentari Muncul Lagi menawarkan tiket berharga RM130 hingga RM700. Justeru, keterangan lanjut boleh didapati di www.myticket.asia