Kuala Lumpur: Lonjakan kes Covid-19 dalam negara ketika ini amat membimbangkan Dr Samsu Ambia Ismail yang tidak sanggup lagi melalui detik hitam dijangkiti wabak itu.
Bagi Dr Samsu Ambia, keperitan dijangkiti wabak itu sukar digambarkan dan masih menjadi igauan ngeri dalam hidupnya.
“Apabila kes melonjak semula, saya teringat-ingat semula detik ketika dijangkiti wabak itu.
“Saya tak lalu makan hingga berat badan turun sebanyak sembilan kilogram, bau makanan saja loya. Peringkat awal rasa macam demam biasa tetapi lama kelamaan menyerang sistem pernafasan membuatkan saya rasa macam ‘lemas’.
“Ia satu pengalaman sukar digambarkan dan menyeramkan yang membuatkan saya tidak mahu melaluinya lagi,” katanya.
Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Teluk Intan, Perak itu berkata, kawalan kendiri dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat penting bagi melindungi diri dan orang lain dijangkiti wabak itu.
“Apa yang membimbangkan apabila kita tiada sekatan perjalanan rasmi dan ketat jadi pergerakan pembawa mungkin ada di mana-mana yang meningkatkan lagi peluang untuk dijangkiti.
“Jadi patuhilah SOP termasuk jangan bersentuhan, amalkan kawalan kendiri dan langkah-langkah kebersihan yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Beringatlah dan jangan leka kerana kita belum ‘menang’ lagi dalam memutuskan rantaian wabak ini,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Talha Mohammad, 18, dari Tawau, Sabah berkata, wabak itu bukan saja menjangkiti mereka sekeluarga, malah meragut nyawa bapanya, Mohammad Bartuk, 54.
“Kami sekeluarga kini sudah pulih sepenuhnya dan reda dengan pemergian arwah ayah.
“Tetapi pengalaman perit itu memang tak boleh lupa sampai bila-bila, malah saya serik.
“Keadaan gejala yang dialami membuatkan saya kurang selesa. Belum lagi kena ambil ujian darah dan swab lebih tiga kali untuk memastikan saya benar-benar bebas wabak itu,” katanya yang dirawat sebulan di hospital.
Katanya, peningkatan kes dalam negara ketika ini amat membimbangkan dirinya kerana tidak mahu mengulangi episod hitam itu.
“Sebagai bekas pesakit, kami sekeluarga sangat berwaspada dan lebih suka duduk rumah jika tiada keperluan penting.
“Lonjakan kes pada masa ini amat membimbangkan kerana virus ini sukar dilihat dan mudah berjangkit.
“Oleh itu, amalkan kawalan kendiri jika tiada keperluan lebih baik duduk rumah saja demi kebaikan semua,” katanya.