Linking Malaysia

Berita Malaysia, Orang, Cerita Perniagaan

Menu
  • Home
  • SEAPRWire
  • ACN Newswire
  • JCN Newswire
  • Contact
Menu

Mulia hati geng ‘rider’

Posted on April 16, 2020 by lau

LIMA jam bekerja membolehkan mereka memperoleh pendapatan sehingga RM100 namun tempoh itu sebaliknya digunakan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang mampu tanpa mengambil sebarang upah.

Demikian sikap sekumpulan penghantar makanan yang wajar dipuji susulan inisiatif mereka menyampaikan sumbangan orang ramai dalam bentuk makanan kepada gelandangan dan isi rumah memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif terbabit dimulakan Muhammad Nor Farhan Azhari, 33, selepas bapa kepada tiga anak ini terkesan dengan seorang individu meminta bantuan rakan penghantarnya menyampaikan bantuan kepada gelandangan sewaktu PKP fasa pertama.

“Seingat saya, individu itu berikan RM1,500 dan meminta rakan saya beli makanan untuk diagih kepada gelandangan sama ada tiga atau empat kali seminggu memandangkan kami lebih mudah bergerak dalam tempoh PKP.

“Ketika itu, saya juga bantu rakan agihkan makanan terbabit dan kongsikannya di Facebook sebelum lebih ramai tampil mahu turut menyumbang.

“Dari situ saya terfikir untuk teruskan aktiviti ini dan semakin lama semakin banyak sumbangan diterima sehingga kami perluaskan bantuan kepada keluarga miskin pula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Farhan berkata, setiap kali menghantar untuk gelandangan atau isi rumah, dia dan rakan menghabiskan masa antara dua hingga lima jam bergantung kepada lokasi penghantaran.

Aktiviti itu katanya lebih mudah dilakukan pada peringkat awal khususnya sebelum DBKL menyelamatkan gelandangan di ibu negara bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

“Sebelum ini, dalam tempoh dua jam saja, kami mampu selesaikan pemberian sumbangan makanan kepada kira-kira 100 gelandangan sebelum kembali bekerja.

“Namun selepas DBKL selamatkan gelandangan ini, berjam-jam juga kami pusing untuk cari gelandangan lain untuk dibantu menyebabkan kami fikir untuk beri kepada keluarga yang mungkin menanti bantuan seumpama ini,” katanya.

Jelas Farhan, kira-kira 60 isi rumah sudah menerima bantuan makanan terbabit setakat ini berupa beras, tepung, gula, kicap, ikan sardin dalam tin, susu, mi segera dan sebagainya.

Menurutnya, selagi ada sumbangan, dia dan enam lagi rakan akan melakukan penyampaian bantuan secara tetap bagi memastikan golongan kurang bernasib baik tidak terpinggir pada saat negara masih berdepan kemelut penyakit berbahaya.

“Setakat hari ini tiada lagi sumbangan yang kami terima namun baki sumbangan sebelum ini sudah kami gunakan untuk beli makanan buat kira-kira 10 keluarga dan akan diagihkan secepat mungkin kepada keluarga yang betul-betul memerlukan.

“Banyak perkara yang membuka mata saya apabila melakukan aktiviti sebegini. Antaranya, ada gelandangan yang mempunyai anak sebaya anak saya, saya lihat bagaimana anaknya hanya bermain sendiri di kaki lima tanpa permainan yang biasa kita beli untuk anak kita.

“Ketika saya hantar bantuan ke rumah keluarga kurang mampu, ada ibu tunggal yang sudah beberapa hari sebelum itu cuma hidangkan cucur untuk anaknya disebabkan di rumahnya cuma ada tepung.

“Melihat semua perkara ini menjadikan saya lebih bersyukur dan sentiasa beringat untuk bantu mereka yang dalam kesusahan. Kita tidak tahu giliran kita,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Kiriman Terkini

    • Establishment of Maritime and Ocean Digital Engineering Cooperation Program at the University of Tokyo
    • Hector Network Partners with Borussia Dortmund
    • Busan IT Industry Promotion Agency Hosts 2022 Global Metaverse Conference & ASEAN-ROK Forum
    • Waste-to-Energy Company in Singapore Made a Wholly-Owned Subsidiary
    • Rovanpera extends WRC lead with rapid home run for TOYOTA GAZOO Racing

    Kategori

    • ACN Newswire
    • Berita
    • JCN Newswire
    • Life
    • People
    • SEAPRWire

    Links

    • YAHOO
    • NASDAQ
    • Bloomberg
    • Newswire
    • EastMud
    • AsiaEase
    • NetDace
    • PostVN
    • VOASG
    • EventPH
    Copyright © 2020 Linkingmy.Com. All right reserved.