Kuala Lumpur: Peminat bola sepak tempatan perlu realistik dan memberi masa kepada penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sekurang-kurangnya dua tahun bagi dia membina fizikal lebih mantap di Belgium.
Jelas pakar dalam bidang sains sukan iaitu pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, perbandingan susuk tubuh antara Luqman dan seorang lagi penyerang negara, Safawi Rasid adalah tidak adil.
Luqman beraksi bersama KV Kortrijk (KVK) dalam liga Belgium manakala Safawi di Portugal bersama kelab, Portimonense SC dijadikan perbandingan dengan ramai peminat memuji fizikal Safawi yang dilihat lebih berotot berbanding Luqman.
“Tak boleh dibandingkan dengan antara kedua-dua pemain itu. Kena ingat, Luqman baru berusia 18 tahun dan susuk tubuhnya sekarang memang ideal dengan umurnya.
“Manakala Safawi pula 23 tahun dan fizikal yang berotot itu sudah dibentuknya sejak tiga ke empat tahun bila dia jadi pemain profesional, ditambah berlatih bersama JDT (Johor Darul Ta’zim) banyak membantunya membina fizikal.
“Luqman baru saja bergelar pemain profesional tahun ini, jadi kita kena beri sekurang-kurangnya dua tahun kepada Luqman untuk membentuk fizikal yang sesuai sebagai seorang penyerang,” katanya kepada Arena Metro.
Mengulas mengenai teknik dimiliki dua bintang negara itu, Sadek menjelaskan kedua-duanya mempunyai kepantasan yang setanding dengan pemain Eropah dan Amerika Selatan.
“Luqman dan Safawi ada kelajuan yang sama dengan pemain di luar negara. Kepantasan bukan sekadar ketika berlari bersama bola tetapi juga laju dalam berfikir membuat keputusan.
“Pemain kita dalam liga tempatan ada juga yang laju tapi lambat dalam membuat keputusan. Dalam bola sepak moden, aspek kepantasan (larian dan berfikir) amat dititik beratkan kerana permainan ‘high pressing’ banyak digunakan.
“Jika kita lambat dan memegang bola terlalu lama, itu yang memudahkan pihak lawan merampas bola. Sebab itu kepantasan berfikir amat penting terutama di peringkat antarabangsa,” katanya.