Kuala Lumpur: Pasangan selebriti suami isteri dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.
Difahamkan, pasangan berkenaan yang juga usahawan terkenal masing-masing berusia 36 tahun hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sejak 4 pagi hari ini.
Wanita berkenaan dipercayai selesai memberi keterangan kira-kira jam 5 petang hari manakala suaminya pula masih memberi keterangan setakat jam 7.30 malam hari ini.
Difahamkan, terdapat beberapa individu termasuk seorang usahawan terkenal turut dipanggil memberi keterangan.
Sumber berkata, pihak SPRM berkemungkinan akan memanggil beberapa lagi individu lain yang turut terbabit dalam siasatan kes sama.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM 2001,” katanya.
Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi pasangan suami isteri terbabit gagal mendapat maklum balas.