Linking Malaysia

Berita Malaysia, Orang, Cerita Perniagaan

Menu
  • Home
  • SEAPRWire
  • ACN Newswire
  • JCN Newswire
  • Contact
Menu

Siapa dalam senarai 120 Ahli Parlimen sokong Anwar?

Posted on Oktober 13, 2020 by lau

Kuala Lumpur: Sesi menghadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditunggu-tunggu hari ini masih tidak dapat merungkai ‘mainan’ angka yang kekal menjadi tanda tanya.

Kehadirannya di Istana Negara pagi tadi ditambah sidang media ‘pengumuman penting’ tidak berjaya memberi apa-apa bayangan kukuh mengenai sebarang perubahan kepada Kerajaan Persekutuan.

Malah, persoalan mengenai senarai nama lebih 120 Ahli Parlimen yang didakwa Anwar memberi sokongan kepadanya turut tidak terjawab, selepas ia tidak didedahkan beliau dalam sidang media khasnya beberapa jam selepas sesi menghadap Seri Paduka.

Lebih menimbulkan tanda tanya, Istana Negara pula kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan hanya mengemukakan jumlah, tanpa senarai nama.

Presiden PKR itu dalam sidang media turut mendakwa bahawa Al-Sultan Abdullah memerlukan masa untuk memanggil semua ketua parti untuk mengesahkan dokumen ‘sahih’ sokongan terhadapnya.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dari pihak Istana Negara mengenainya, namun tengah hari tadi dilaporkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara pada 2.40 petang.

Di sebalik episod politik yang berlaku hari ini, Kerajaan Persekutuan diterajui Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun dilihat berfungsi seperti biasa dengan beliau menganjurkan sidang media maya khas bersama wartawan jam 5 petang.

Dalam pada itu, sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sidang media mengenai perkembangan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berjalan seperti biasa.

Angka ‘120’ ini mula menjadi perhatian rakyat Malaysia terutama pemerhati politik selepas Anwar dalam satu sidang media 23 September lalu mendakwa mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Pada hari sama, Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan PN masih teguh dan beliau masih Perdana Menteri yang sah, menambah bahawa Anwar perlu membuktikan dakwaan berhubung sokongan majoriti diperolehnya mengikut proses dan kaedah ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Muhyiddin dalam sesi bersama media hari ini menyatakan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk membuat keputusan, berhubung dakwaan Anwar itu.

Kiriman Terkini

  • Woman, two sons missing after car plunges into Kedah river
  • Covid-19 Watch: 2,302 new cases bring total to 4,554,661
  • Cabinet pay cut will not solve rising cost of living issue, says Mahdzir
  • Samsung Unveils 200MP HP3 ISOCELL Image Sensor
  • Police reports lodged against Lim and Syed Saddiq

Kategori

  • ACN Newswire
  • Berita
  • JCN Newswire
  • Life
  • People
  • SEAPRWire

Links

  • YAHOO
  • NASDAQ
  • Bloomberg
  • Newswire
  • EastMud
  • AsiaEase
  • NetDace
  • PostVN
  • VOASG
  • EventPH
Copyright © 2020 Linkingmy.Com. All right reserved.