Kuala Lumpur: Tindakan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh mempersendakan keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dengan hantaran format grafik (GIF) gelak ketawa di laman Instagramnya jelas mengundang kemarahan peminat bola sepak tanah air.
Malah, kenyataan pemain sayap itu yang menganggap hukuman penggantungan dua tahun oleh PBNP sebagai melucukan nyata tidak menghormati keputusan bekas pasukan yang banyak berkorban terutama dalam memudahkan urusan permohonan kerakyatan Malaysia sebelum ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, tindakan balas Sumareh seolah-olah mempersendakan bekas majikannya yang diketuai kerabat diraja Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden PBNP.
Katanya, pemain kelahiran Gambia itu tidak menjaga sensitiviti masyarakat negara ini dan bertindak seperti ‘kacang lupakan kulit’.
“Saya rasa satu penghinaan kepada PBNP yang dikendalikan oleh Tengku Abdul Rahman. Saya rasa Sumareh tak patut buat begitu sebab ini dah macam menjatuhkan maruah raja kita.
“Bagi saya memang perbuatan (mempersendakan) itu tidak senonoh dan tidak patut dibuat. Saya sebagai rakyat Malaysia mahu kerajaan ataupun pihak istana mengambil tindakan lebih ketat.
“Dia baru saja menjadi rakyat Malaysia patutnya dia kena faham ini satu penghinaan kepada rakyat negeri Pahang juga. Tindakan lebih drastik, Yang di-Pertuan Agong batalkan saja dia punya kerakyataan dan jangan bagi masuk Malaysia lagi,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Selasa lalu, PBNP menerusi Jawatankuasa Tatatertibnya mengenakan hukuman gantung dua tahun ke atas Sumareh daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan badan induk itu.
Dia didapati bersalah atas empat pertuduhan iaitu melanggar artikel 4.11, 6.6 dan 5.1 mengenai kontrak pemain serta artikel 10.05 perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran majikan.
Bagaimanapun, keputusan itu disambut sinis oleh Sumareh yang mempersoalkan mengenai hukuman terbabit selepas dia membatalkan kontrak bersama pasukan berkenaan berikutan masalah gaji.
Malah, Sumareh yang kini beraksi bersama Police Tero FC mengakui hukuman terbabit adalah kali pertama pernah didengarinya sepanjang berkecimpung dalam arena bola sepak apabila badan induk bola sepak negeri mengenakan hukuman penggantungan terhadap pemain mereka.
Menurut Khalid, skuad Harimau Malaya tidak akan rugi tanpa khidmat pemain sayap itu kerana ramai pemain tempatan boleh mengisi tempatnya.
“Tak merugikan (skuad negara)…kalau perangai dah macam itu saya rasa kita tak perlu pemain macam dia,” katanya.