BERDEPAN dengan ugutan oleh pihak tertentu, melalui jalan berbukit serta tanah merah, malah menempuh perjalanan menerusi sungai berarus deras tidak sedikit pun mematahkan semangat sekumpulan pendakwah ini untuk terus membantu golongan memerlukan tidak mengira agama atau bangsa.
Berpegang kepada hadis Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan salam, memberi makanan dan menghubungkan kasih sayang menjadi penguat untuk mereka menempuh setiap halangan berkenaan.
Sejak sembilan tahun lalu apabila mula mengorak langkah untuk Misi Kembara Syahadah usaha Ustaz Mohd Fadli Yusof, 52, bersama isteri dan anak-anaknya berbaloi apabila mereka berjaya mengislamkan lebih 1,000 saudara baru di seluruh negara terutamanya di kawasan pendalaman di negeri Sabah.
Beliau bersama isteri dan anak-anaknya sanggup menempuh perjalanan jauh yang pastinya mempunyai 1001 halangan semata-mata untuk menyantuni golongan memerlukan biarpun ada kalanya menerima ugutan fizikal, malah ada juga ancaman sihir.
Bagi Ustaz Mohd Fadli, pendekatan dakwahnya berasaskan kepada pesanan Rasulullah SAW untuk membantu sesiapa saja tidak mengira agama dan menyebarkan salam sesama manusia.
“Pendekatan dakwah saya adalah menyebarkan salam, memberi bantuan makanan dan menghubungkan kasih sayang. Saya tidak cerita terus berhubung Islam itu apa, yang utama kita bantu dahulu dan selalunya mereka akan tertarik untuk mengetahui dan bertanya tentang Islam dan Allah.
“Dalam banyak keadaan juga kaedah itu akan menarik perhatian orang yang bukan Islam untuk mengetahui apakah itu Islam kerana mereka kagum dengan pendekatan yang dibawa. Oleh itu, pesanan nabi SAW sangat penting untuk kita sebagai pendakwah.
“Usaha dakwah ini adalah tanggungjawab sebagai seorang Muslim dalam menyebarkan agama Allah tidak mengira tempat, wang ringgit atau kemasyhuran. Apalah sangat dugaan yang saya serta peserta misi syahadah ini tempuhi berbanding perjuangan Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Menerangkan berhubung program misi syahadah itu, beliau menyatakan bahawa inisiatif memulakan misi ini sudah dilaksana sejak 2011 bersama keluarga dan kini masih diteruskan.
“Kita tidak hanya mengislamkan selepas itu kita tinggalkan, tetapi kita mengislamkan dan kekal dalam komuniti mereka. Kita ziarah dari semasa ke semasa dan memberi ilmu berkenaan Islam, ibadat dan serba sedikit pengetahuan tentang agama suci ini.
“Usaha ini berterusan dan kita anggap saudara baharu sebagai ahli keluarga, malah kita rapat dengan mereka termasuk komuniti yang masih belum memeluk Islam, mereka selesa dengan pendekatan yang dibawa,” katanya.
Mohd Fadli berkata, dalam usaha dakwa apa yang penting adalah mempamerkan akhlak dan budi pekerti yang baik serta dua elemen ini akan menjadi faktor penarik buat mereka.
Menurutnya, berdakwah di kawasan pendalaman sememangnya ada cabaran tersendiri dan perlu melihat kepada contoh dakwah Rasulullah SAW yang sentiasa menampilkan akhlak terpuji baik dengan kawan serta lawan.
“Saya sendiri pernah berdepan dengan pelbagai cabaran dan alhamdulillah, Allah memudahkan urusan kami dan ada ketikanya memang berlaku sesuatu yang tidak disangka-sangka. Inilah asam garam dakwah,” katanya.